Friday, March 07, 2008

PRU12: 18 jam lagi


18 jam dari sekarang, rakyat Malaysia yang berdaftar akan mula keluar mengundi.

Kepada yang masih belum berupaya untuk membuat keputusan ke arah mana undi akan dibuang, masih ada waktu. Fikirkan APA dan bukan SIAPA. Fikirkan APA - yang dekat di hati kita, APA - yang akan bergelumang secara langsung dalam kehidupan kita seharian, untuk tempoh lima tahun lagi.

Harga barang, harga petrol, tol, pendidikan, keselamatan - ini adalah sebahagian APA yang dekat di hati kita. Kenapa harus fikir tentang NCER, ECER, SCORE sedangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia hanyalah pada kadar 5.6% sedangkan China hari ini sedang tumbuh pada kadar 11.2%, Kemboja 9.2%, India 8.5%, Vietnam 8.3%, Singapura pula 7.5%.

Kenapa terlalu menyanjungi angkasawan naik roket ke bulan dengan perbelanjan lebih RM95 juta, melakukan eksperimen-ekperimen yang entah apa hasilnya? Sedangkan di bangunan-bangunan kerajaan seperti hospital dan mahkamah pun bumbungnya retak?

Kenapa harus fikir untuk belanjakan wang berjuta-juta ringgit lagi untuk membina balai-balai polis sedangkan anggota polis sibuk mengiringi pemimpin, menteri-menteri ke sini sana, pembunuh Nurin belum dijumpai, ibu bapa Sharlini masih mencari-cari?

50 tahun bukan satu tempoh yang singkat. Kenapa selepas 50 tahun, baru kita disogokkan dengan manifesto 'Selamat, Aman, Makmur' sedangkan keselamatan, keamanan dan kemakmuran telah patut tertanam dan menjadi tanggungjawab kerajaan sejak hari pertama kemerdekaan, tak perlu manifesto!

Najib kata - jangan tukar kerajaan seperti menukar baju. Kita tak tukar kerajaan setiap hari. Tidak juga kita tukar kerajaan setiap lima tahun. Malahan kita tidak pernah tukar kerajaan selama 50 tahun ini. Baju kalau dipakai lama-lama dan tak tukar-tukar, akan busuk jadinya, akan koyak sini sana. Baju perlu ditukar, dengan yang baru, yang lebih cantik - supaya orang tidak memandang hina dengan bau yang menusuk hidung dan kecompang-campingannya.

Kenyataan Pak Lah semalam, jika harga petrol dinaikkan sekalipun, ianya tidak akan membebankan rakyat. Don't be a fool and be fooled. Tiada erti kata bebas dari bebanan jika harga petrol naik. Dia boleh cakaplah, bagi amaran "Jangan naikkan harga barang" tetapi harga barang naik juga. Kita tak boleh salahkan peniaga, di Malaysia banyak 'orang tengah' dalam perniagaan. 'Orang tengah' tak dipantau oleh KPDNHEP dan Pak Lah. 'Orang tengah' tak kena amaran.

Kerajaan Barisan Nasional merayu kepada rakyat Kelantan supaya mereka diberi peluang sekali lagi untuk memerintah Kelantan. Lima tahun sahaja, kata mereka. Jika tidak suka, jangan undi mereka lagi pada PRU13. Bukannya kerajaan Barisan Nasional tidak pernah memerintah Kelantan sebelum ini?! Kenapa rakyat Kelantan tolak mereka sebelum ini? Mesti ada 'proven track record'.

Tidak salah dan tidak 'busuk' lah kalau pihak pembangkang merayu kepada rakyat Malaysia supaya mereka diberi peluang untuk memerintah negara. Lima tahun sahaja. Jika tidak suka, jangan undi mereka lagi pada PRU13.

Tidak ada negara yang bankrap bila berlakunya peralihan kerajaan - lihat Thailand, bertukar kerajaan tetapi ekonomi (GDP growth) lebih mampan dari Malaysia, US bertukar kerajaan - masih lagi kuasa ekonomi dunia. Lima tahun, tak sempat pun kalau nak bangkrapkan negara. Kita bukan KJ, boleh buat macam-macam, kaut segala untung dalam masa yang singkat - dia pun kerjanya "full time non-politician politician", dia banyak masa.

Undi untuk APA dan bukan untuk SIAPA. Fikirkan APA - yang dekat di hati kita, APA - yang akan bergelumang secara langsung dalam kehidupan kita seharian, untuk tempoh lima tahun lagi.

Kita bukan undi untuk SIAPA. Kita undi untuk APA. Kita undi untuk turunkan harga petrol. Kita undi untuk pendidikan percuma - sekolah rendah, menengah dan universiti. Kita undi untuk pastikan PDRM betul-betul menjaga keselamatan rakyat, bukan hanya keselamatan pemimpin. Bila harga petrol turun, bila pendidikan percuma... orang UMNO ke orang DAP ke orang MIC ke orang KeADILan ke orang MCA ke orang PPP ke orang Gerakan ke orang PAS ke orang PASOK ke... semua akan rasa. Tak perlu tunjuk kad keahlian bila nak isi minyak atau bayar tol.

Kita undi SIAPA yang boleh memberikan APA yang dekat di hati kita, dearest to our heart. Kita undi Barisan Rakyat.



5 comments:

Anonymous said...

yay.. bravo bravo.... bagus2,,,, inilah yg kita cari..
slamat mengundi bro
-ojij-

Anonymous said...

i love u...hehehe

Elf said...

wow..

very nicely said.

Jingga Studies said...

nice one!

Deo said...

ojij, hairieusoff, elf, jingga studies...

thank you thank you, salam tunduk-tunduk tonggek-tonggek... sila lah makan free ni... hahahaha.....

Related Posts with Thumbnails